Saturday, April 10, 2021

BBM3410-2021-MINGGU 3-BAHAN ASAS GRAFIK

BAHAN ASAS GRAFIK


1. BANNER/BANTING

Banting atau kain rentang adalah salah satu medium pengiklanan atau hebahan yang baik dan berkesan. Banting sering digunakan oleh syarikat untuk memperkenalkan atau mempromosi produk yang dijual. Bahan-bahan yang biasa digunakan dalam pembuatan banting adalah seperti tarpaulin, vinyl, synthetic paper dan kovex. Bukan itu sahaja, kualiti printing bagi setiap banting yang dihasilkan juga adalah berbeza mengikut dot per inch.

    Bagi iklan kasut, banting yang direka mestilah mempunyai imej dan warna yang menarik. Penggunaan imej dan warna yang menarik membantu dalam memastikan banting tersebut mudah dilihat dan menarik perhatian orang awam. Bukan itu sahaja, banting yang diletakkan juga perlulah di tempat yang strategik agar mudah menarik minat orang awam untuk membelinya. Hal ini dikatakan demikian, kerana keberkesanan iklan melalui banting ini sangat bergantung kepada design dan lokasi banting tersebut diletakkan.


Perkara yang perlu ada dalam banting bagi iklan kasut ialah pemilihan warna yang menarik dan sesuai. Berdasarkan banting di atas, pemilihan warna oren dan hitam sebagai warna latar amat bersesuaian dengan kasut yang berwarna biru. Latar yang berwarna oren pula dipadankan dengan warna tali kasut sukan tersebut. Hal ini membantu imej kasut tersebut agar kelihatan sangat menonjol dan tidak tenggelam. 


Bukan itu sahaja, teks yang digunakan dalam banting iklan kasut juga perlulah jelas dan bersesuaian dengan konsep yang ingin diketengahkan. Teks yang digunakan dalam banting di atas sangat menarik, menonjol dan bersesuaian dengan konsep iklan kasut sukan. Bukan itu sahaja, teks yang digunakan juga tidak terlalu padat dan ringkas. Ia memudahkan lagi penyampaian mesej bagi banting iklan kasut sukan ini. 

2. PAMPHLET

    Pamplet merupakan satu medium untuk sesebuah syarikat atau pengeluar untuk menjalankan promosi bagi memasarkan produknya. Pamplet ini juga dikenali sebagai risalah yang dilengkapi dengan teks dan dihiasi dengan pelbagai jenis grafik untuk kelihatan lebih menarik. Selain itu, pamplet juga merupakan satu kepingan kertas yang boleh dihasilkan dalam bentuk selembar kertas yang dilipat dua, dilipat tiga atau dilipat empat bahagian mengikut kreativiti dan kesesuaian perkara yang ingin ditekankan dalam pamplet tersebut.


Halaman hadapan pamphlet sebelum dilipat tiga


Halaman belakang pamphlet sebelum dilipat tiga

Berdasarkan pamplet yang ditunjukkan di atas, kami menekankan lima asas grafik untuk menjadikan pamplet kami kelihatan menarik dan diterima oleh pembaca. Kami menekankan pemilihan elemen teks yang pelbagai jenis dan saiz font yang berbeza untuk menunjukkan perbezaan maklumat supaya pembaca dapat memahami setiap perkara yang kami sampaikan dalam pamplet tersebut. Selain itu, kami juga menekankan elemen warna iaitu pemilihan warna yang tidak terlalu banyak merangkumi imej dan teks. Hal ini menjadikan pamplet kami bukan sahaja menarik tetapi maklumat tidak bercampur dengan grafik yang terlalu berlebihan sehinggakan maklumat menjadi sukar untuk difahami. 

    Seterusnya, kami juga menekankan elemen keseimbangan kerana pamplet yang kami hasilkan dalam bentuk tiga lipatan hadapan dan belakang. Hal ini amat penting agar susun grafik yang kami corakkan pada pamplet tersebut seimbang kiri dan kanan serta atas dan bawah. Begitu juga dengan elemen mudah dan kesesuaian, kami menekankan kedua-dua elemen ini untuk memudahkan pembaca memahami pamplet yang kami hasilkan. Buktinya, elemen mudah dan kesesuaian dapat dilihat hanya dengan sekali imbas iaitu berkenaan dengan pengiklanan kasut sukan walaupun tidak membaca teks pada pamphlet ini.


3. POSTER

Poster merupakan suatu bentuk seni komunikasi yang melibatkan perhubungan dan pengiklanan. Secara amnya, poster diterbitkan untuk menghasilkan suatu bentuk pengiklanan. Ia juga bertujuan untuk memberi pengumuman tentang sesuatu perkara. Poster juga kebiasaannya ditampal pada papan kenyataan dan juga di dinding-dinding kawasan tertentu. Poster yang berhasil ialah poster yang mampu menyampaikan maklumat kepada orang ramai dengan jelas, cepat dan berkesan. Poster juga boleh dipersembahkan melalui dua cara iaitu menggunakan huruf sahaja atau mencampurkan elemen huruf dengan ilustrasi seperti gambar dan lukisan. Penghasilan poster mempunyai beberapa teknik yang boleh digunakan, antaranya ialah teknik lukisan, catan, kolaj, cetakan dan campuran.


Berdasarkan poster yang dihasilkan di atas, elemen yang diberatkan ialah elemen mudah. Seperti mana yang difahami, elemen mudah dalam grafik dapat memberi kemudahan kepada pembaca untuk memahami maksud yang terkandung dalam poster tersebut. Jika dibaca dengan sepintas lalu, pembaca akan memahami bahawa poster merupakan satu bentuk pengiklanan tentang kedai yang menjual kasut sukan iaitu SB SPORT’S. Penggunaan gambar kasut sukan dalam poster tersebut mengukuhkan lagi mesej yang menyatakan bahawa poster ini berkaitan dengan kedai yang menjual kasut sukan. Penggunaan frasa ‘YOUR SOUL CHOICE’ pula menunjukkan bahawa barangan yang dijual di kedai ini akan memenuhi citarasa pengguna terutamanya pengguna yang berusia kurang dari 30 tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebanyakan pengguna yang berusia kurang dari 30 tahun sering menjadi pengikut trend semasa. 

Selain itu, penggunaan contengan yang berwarna kuning menonjolkan lagi teks yang ditulis pada bahagian tersebut. Hal ini sekali gus dapat menarik minat pembaca untuk ke kedai tersebut. Pada bahagian contengan tersebut telah dinyatakan diskaun dan percuma pendaftaran kad ahli di kedai SB SPORT’S. Pada bahagian bawah di penjuru kiri, maklumat tentang kedai dan laman web kedai turut disertakan bagi memudahkan pembaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang kedai ini.

Bukan itu sahaja, teknik yang digunakan dalam menghasilkan poster ini ialah teknik cetakan yang menggunakan kemudahan komputer. Susunan dalam poster ini memudahkan pembaca untuk memahami kandungan teks yang disertakan. Pembaca tidak akan berasa tertekan atau keliru apabila membaca poster tersebut kerana pembaca akan mula membaca dari bahagian atas hingga ke bawah.

Akhir sekali, penggunaan latar belakang yang berwarna biru telah menyerlahkan lagi teks, corak contengan dan juga gambar yang digunakan dalam poster ini. Maka, terhasillah satu bentuk poster yang berkonsep ringkas tetapi dapat menarik minat pembaca dan pembeli. 


4. GAMBAR/FOTO

Gambar didefinisikan sebagai sebuah alat untuk menyatakan maksud dari seorang Sarjana Teknik (Bahasa Teknik). Sebagai bahasa teknik, gambar diharapkan dapat meneruskan keterangan-keterangan secara tepat dan objektif. Gambar yang tepat pula bergantung kepada kemampuan jurugambar. Selain itu, gambar yang baik adalah gambar yang memudahkan pembaca memahaminya iaitu gambar yang menunjukkan objek yang jelas dan tidak kabur.



Berdasarkan gambar yang dihasilkan di atas, elemen yang diberatkan adalah elemen warna. Dengan sekali imbas, orang awam dapat mengetahui bahawa gambar di atas adalah berkenaan dengan kasut sukan. Bukan itu sahaja, gambar di atas juga berfokus kepada elemen warna. Warna yang terdapat dalam gambar di atas kelihatan menarik. Gambar di atas tidak overlighted atau terlalu terdedah yang boleh menyebabkan objek warna gambar terlalu terang atau cenderung menjadi semua putih. Bukan itu sahaja, gambar di atas juga mengandungi tidak lebih daripada tiga warna. Hal ini membantu orang awam yang melihat gambar ini untuk kekal fokus dengan mesej yang hendak di sampaikan. 

Akhir sekali, terdapat juga teks pada bahagian bawah di penjuru kanan iaitu ‘NIKE’ yang menunjukkan nama produk pada gambar tersebut bagi memudahkan pembaca untuk mengenal pasti produk dan mengetahui produk yang dilihat dalam gambar di atas.


5. BILBOARD

Billboard atau papan tanda iklan merupakan suatu bentuk promosi iklan yang memiliki ukuran yang besar dan diletakkan di tempat yang tinggi. Papan iklan biasanya berbentuk empat segi dan mempunyai saiz yang berbeza dan dihasilkan dengan menggunakan bahan seperti kayu, logam, fiberglass dan sebagainya. Kebiasaannya papan tanda iklan dipasang di tempat yang dilalui oleh ramai orang seperti jalan raya, namun terdapat juga papan tanda yang dipasang di premis perniagaan. Papan tanda iklan yang dipasang di premis-premis perniagaan merupakan satu pengenalan yang menjelaskan tentang aktiviti atau perniagaan yang dijalankan di premis perniagaan tersebut. Seperti mana yang kita lihat di kebanyakan pusat bandar terutamanya di kawasan perniagaan, papan tanda menjadi satu tarikan dalam mempromosi perniagaan mereka kepada orang awam.



Berdasarkan papan tanda yang dihasilkan, grafik tersebut lebih memberatkan kepada elemen teks. Penggunaan ayat dan bahasa yang digunakan pada papan tanda iklan kasut sukan tersebut tersusun dan ringkas. Hal ini membolehkan maklumat ditafsir dengan jelas dan mudah oleh pembaca.

Selain itu, jenis dan saiz font yang digunakan juga sangat ringkas dan mudah untuk dibaca dalam keadaan dan masa yang singkat. Pemilihan warna teks juga memainkan peranan penting dalam grafik papan tanda supaya dapat menarik perhatian pembaca untuk melihat dengan jelas mesej yang disampaikan. Hal ini dikatakan demikian kerana, kebiasaannya kedudukan papan tanda iklan tersebut berada di tepi jalan raya dan ia juga berkait dengan faktor keselamatan pembaca.

   Bukan itu sahaja, papan tanda iklan kasut sukan ini juga mempunyai gabungan warna hitam, putih, dan kuning pada teks. Apabila digabungkan dengan latar belakang biru, ia menaikkan lagi efek pada papan iklan tersebut. Kombinasi warna teks yang digunakan juga agak minimal iaitu tiga warna sahaja. Penggunaan warna kuning pada tulisan “RUN” pula bertujuan untuk menekankan lagi maksud yang disampaikan iaitu berkenaan dengan kasut sukan. Jadi, penggunaan warna yang kontra dan menarik pada papan tanda iklan tersebut menimbulkan rasa tenang kepada pembaca untuk melihat iklan yang dipaparkan. Oleh itu, pemilihan teks dan warna latar belakang yang ringkas telah menonjolkan lagi gambar kasut tersebut sehingga membolehkan maklumat dapat ditafsir dengan jelas dan mudah oleh pembaca.

6. VIDEO

Video merupakan salah satu medium pengiklanan untuk mempromosikan sesebuah barangan ataupun produk jualan sesuatu syarikat. Video pengiklanan dapat dihasilkan dan ditayangkan di medium-medium seperti kaca mata televisyen dan media-media sosial. Video pengiklanan dipaparkan secara visual dan audio dan memerlukan editor untuk mengedit video pengiklanan tersebut. Video pengiklanan akan menunjukkan idea sesebuah produk dalam bentuk gerakan dan bunyi yang menarik di dalam video pengiklanan yang dihasilkan.



Video ini memaparkan gambaran hadapan dan tepi kasut sukan tersebut. Video ini juga menggunakan teknik close-up untuk memfokuskan bahagian kasut ketika berjalan. Gambaran sukan takraw yang menunjukkan keselesaan kasut sukan yang dipakai model juga terdapat dalam video ini. Bukan itu sahaja, terdapat juga teknik close-up ketika model tersebut mengimbangi bola takraw. Hal ini membantu video ini kelihatan eksklusif dan profesional.

 Di samping itu, audio turut dimasukkan bagi menaikkan aura positif berkaitan kasut sukan tersebut. Video itu juga dimasukkan elemen sukan bagi mengaitkan dengan kasut sukan yang hendak dipamerkan. Oleh itu, video ini mampu menonjolkan idea untuk menerangkan kasut sukan yang dipamerkan bersesuaian untuk aktiviti sukan. 




Buku Rujukan

No comments:

Post a Comment

SENARAI TAJUK TUGASAN BBM3410 2021

1.  BIODATA DIRI 2.  CERITA SOSIAL 1 3.  PENDEKATAN ANALISIS WACANA 4.  NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK 5.  ASAS GRAFIK MUDAH 6.  ASAS GRAFIK WARNA ...