Thursday, April 1, 2021

BBM3410-2021-MINGGU 2-NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK

 

BBM3410-2021-MINGGU 2-NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK

Di dalam asas grafik mempunyai lima elemen dan kelima-lima elemen ini menjadi asas kepada grafik.

Elemen tersebut ialah :

1. MUDAH

Sesuatu perkara yang mudah untuk difahami melalui penglihatan seseorang berkaitan perkara yang hendak diterangkan dalam video mahupun gambar. Elemen mudah ini berkaitan bagaimana mesej tersebut disampaikan memberikan kefahaman kepada orang lain dengan lebih cepat. Sebagai contoh, sekeping foto basikal lama berwarna merah di hadapan rumah. Pemahaman seseorang yang melihat foto tersebut akan faham dengan serta merta bahawa foto tersebut merupakan foto sebuah basikal berwarna merah.

2. WARNA

Warna didefinisikan sebagai satu kombinasi warna ataupun satu warna dalam sesuatu gambaran dala, bentuk foto mahupun video. Grafik yang wajar seharusnya mengandungi tidak lebih daripada tiga warna. Walau bagaimanapun, grafik yang mengadungi lebih daripada tiga warna boleh didapati dalam kebanyakan foto atau video. Hal ini terpulang kepada objektif atau mesej yang ingin disampaikan. Juga tidak dilupakan, terdapat grafik yang mempunyai satu warna sahaja dan hal ini juga berbalik kepada mesej yang ingin disampaikan. Contohnya, sekeping foto kereta berwarna biru dan disertai dengan pokok di belakang yang menghijau. Terdapat juga warna awan yang kebiruan. Foto ini jelas menarik kerana mempunyai tiga warna yang menyerlah dan memfokuskan kepada kereta, pokok dan awan.

3. TEKS

Teks pula merujuk kepada jenis dan saiz font yang dipilih dalam persembahan grafik. Selain itu, kandungan dalam teks juga diambil kira bagi tujuan pemahaman terhadap grafik. Ketiga-ketiga faktor dalam elemen grafik perlu diteliti dengan baik supaya mesej dapat disampaikan dengan baik. Walau bagaimanapun, warna yang terdapat dalam font tersebut juga penting dalam asas grafik. Sebagai contoh, iklan telefon bimbit disertai dengan teks “Nipis dan Ringan” memberikan satu persepsi atau pandangan terhadap telefon tersebut. Oleh itu, seharusnya teks tersebut ditulis dengan besar dengan menggunakan font yang menarik supaya pengguna berminat untuk membelinya.

4. KESESUAIAN

Kesesuaian dalam grafik ini didefinisikan sebagai grafik yang berkesesuaian dengan latar iaitu latar tempat, latar masa, latar watak yang terdapat dalam sesebuah foto atau video tersebut. Setiap watak ataupun bahan dalam grafik bersesuaian antara satu sama lain. Contohnya, terdapat foto tiga orang kanak-kanak sedang bermain di halaman rumah yang terletak di sebuah kampung. Kanak-kanak berkaki ayam serta wajah kanak-kanak yang sedang ketawa. Langit yang hampir gelap yang menunjukkan suasana waktu petang. Terdapat tulisan di bawah foto tersebut “Suasana di kampung saya”.

5. KESEIMBANGAN

Keseimbangan dalam grafik juga merujuk kepada ruang dalam foto atau video. Ruang yang dimaksudkan ialah ruang di kiri dan kanan serta atas dan bawah. Sama ada ruang kosong ataupun grafik yang sama berat di ruang tersebut. Namun, seimbang juga diterima apabila grafik dilihat dapat disampaikan dengan baik. Contohnya, ruang sebelah kiri objek 1 besar seimbang dengan ruang di sebelah kanan objek 2. Di bahagian atas dan bawah foto juga terdapat dua warna yang berbeza dan seimbang.

 

Rujukan

Normaliza abd Rahim (2019), Multimedia dalam Bahasa, Penerbit UPM, Serdang

 

Buku Rujukan

No comments:

Post a Comment

SENARAI TAJUK TUGASAN BBM3410 2021

1.  BIODATA DIRI 2.  CERITA SOSIAL 1 3.  PENDEKATAN ANALISIS WACANA 4.  NOTA ELEMEN ASAS GRAFIK 5.  ASAS GRAFIK MUDAH 6.  ASAS GRAFIK WARNA ...